Yuna Pilih Jejaka AS Sebagai Kekasih
PENYANYI bertaraf antarabangsa, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai kini dikatakan sedang menjalin hubungan dengan seorang jejaka dari Amerika Syarikat bernama Jules Schratter.
Menurut laporan dari sebuah akhbar tempatan, jejaka tersebut difahamkan merupakan jurugambar peribadi Yuna di AS.
Hubungan antara Yuna dan Jules ini dikatakan bukan lagi rahsia apabila Jules sendiri sering meluahkan perasaannya terhadap Yuna menerusi gambar-gambar yang dimuat naik di Instagramnya Throughjules.
Bukan itu saja, malah Jules turut memuat naik gambar-gambarnya ketika mengunjungi kampung halaman Yuna baru-baru ini.
Sebelum ini Yuna pernah menjalin hubungan cinta dengan pengacara Qi, namun disebabkan faktor jarak jauh hubungan mereka terkandas di tengah jalan.
Sharifah Zarina Pilih Apek??
BUAT peminat Khairul Fahmi Che Mat yang lebih dikenali sebagai Apek, mesti anda tertanya-tanya apa maksud di sebalik tajuk artikel ini.
Hah! Rasanya ramai yang sedia maklum klip video "Memandang Awan", lagu dendangan Sharifah Zarina, menampilkan Apek sebagai heronya.
"Saya memilih Khairul Fahmi dan juga Sharifah Aleya sebagai teraju utama klip video ini kerana saya rasakan mereka berdua mempunyai 'chemistry' dan cukup 'sporting'," ujar Sharifah Zarina ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Buku Panduan Jalan-Jalan Cari Makan bersama Maria Tunku Sabri baru-baru ini.
"Sebenarnya Sharifah Shahira yang mencadangkan kepada saya untuk mengambil Apek dijadikan pelakon dalam video klip saya. Pertama kali berjumpa dengannya saya sangat terkejut kerana dia mempunyai bakat berlakon dan cukup merendah diri. Dia juga seorang yang peramah dan saya senang bekerja dengan dia."
Suki (OIAM) Bakal Berkahwin 12.12.12
SEPERTI yang telah dijangka, tarikh 12 Disember 2012 pasti menjadi pilihan ramai pasangan di luar sana untuk mengakhiri musim percintaan mereka dengan ikatan perkahwinan. Tidak ketinggalan, juara One In A Million musim pertama Suki Low yang baru sahaja mengumumkan bahawa dia akan melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya, Jeremy Chong, seorang ahli perniagaan dan eksekutif muzik yang berasal dari Pulau Pinang.
Majlis perkahwinan serta resepsi pasangan ini akan berlangsung di Pulau Pinang di mana pasangan ini akan diraikan dalam satu majlis malam malam bertempat di atas kapal SuperStar Libra, Star Cruises. Difahamkan majlis resepsi ini ditaja sepenuhnya oleh Star Cruises. Selain itu, jenama barangan kemas, Poh Kong turut menaja perhiasan yang akan digayakan oleh Suki pada hari perkahwinannya itu. Perkahwinan itu bakal disaksikan oleh para tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai terdekat kedua mempelai.
Dalam satu kenyataan media, Suki memberitahu yang dia sangat gembira dan bersyukur kerana hari yang dinanti-nantikan akan tiba tak lama lagi.
“Saya rasa sangat bertuah kerana telah menemui cinta sejati dan saya bagaikan tidak percaya kami akan melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang bakal diingati selamanya. Saya harap semua peminat dan rakan-rakan saya akan terus mendoakan kebahagiaan dan kejayaan kami berdua,” ujar Suki.
Panas! Neelofa Ada Hubungan Sulit Dengan Lelaki Itali??!
BEKERJA dan dalam masa sama ambil kesempatan untuk bercuti. Itu saja cara bagi mereka yang sentiasa sibuk. Dan pelakon jelita, Neelofa atau mesra dipanggil dengan nama Lofa, mengggunakan pendekatan yang sama.
Baru-baru ini dia telah terbang ke Itali bagi menjalani rakaman program Nona, di sekitar beberapa lokasi di sana.
Pastinya bahan yang akan dibawa pulang untuk program wanita nombor saluran TV3 itu, menarik-menarik belaka. Kita nantikan.
Mmm... Sebenarnya ini gambar bersama seorang peminat Neelofa dari Itali
Dalam pada itu, bukan main seronok lagi nampaknya Lofa sepanjang berada di sana. Berkongsi dengan peminat di tanah air, Lofa memuat naik beberapa keping foto sepanjang dia menikmati keindahan negara itu.
Di laman Twitternya , Lofa menulis, “Alhamdulillah, done with work here. Sama banyak buat duit dan habis duit but its all worth” it!”
Selain, sewaktu di Venice, sempat juga ‘dikirimkan’ sekeping fotonya menaiki gondola dan Neelofa menulis “Venice! But where is my other half?” Wah! Lofa berjaya buat kami cemburu. -BS
Jom layan foto-foto menarik Neelofa di Italy...
...
Aliff Aziz Doakan Anne Ngasri Bahagia
BARU-BARU ini dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan berita bertunangan Anne Ngasri, 28, dengan pasangan pilihannya seorang duda berusian 40-an. Ini kerana pelakon berstatus janda ini baru sahaja dikhabarkan putus cinta dengan penyanyi remaja, Aliff Aziz setelah dikatakan mendapat halangan daripada pihak keluarga.
Apabila berita pertunangan ini mula tersebar, pasti yang ramai tahu apa reaksi Aliff Aziz bukan? Biarpun tiada lagi hubungan cinta di antara mereka, tetapi ramai yang percaya Aliff berasa tertampar dengan berita pertunangan itu. Malah, timbul desas-desus mengatakan Alif mengalirkan air mata selepas mendapat tahu tentang perkara itu.
Kesempatan bertemu dengan Aliff di majlis sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 pada Rabu membuka ruang kepada pihak media untuk mendapat penjelasan lanjut daripada penyanyi dari Singapura ini.
“Alhamdulillah doa saya dan dimakbulkan Allah. Saya selalu doakan supaya dia (Anne) akan dapat kebahagian yang diidamkan. Biarpun tidak bersama saya, tetapi saya gembira kerana dia dapat apa yang dia mahukan. Semoga jodohnya dengan lelaki itu berkekalan dan majlis perkahwinan mereka nanti berjalan dengan lancar,” luah Aliff yang menafikan dia menangis setelah mendapat tahu tentang perkara itu.
Dalam masa yang sama, penyanyi ini juga mendedahkan dia sebenarnya tidak diberitahu oleh Anne tentang pertunangan itu. Sebaliknya, khabar itu disampaikan oleh rakan-rakan melalui panggilan telefon.
“Saya dapat tahu pasal pertunangan ini apabila ada kawan-kawan yang telefon beritahu. Mula-mula saya ingat mereka main-main, tetapi setelah saya baca di Twitter dan cari info di internet, barulah saya percaya bahawa perkara itu memang benar. Bohong kalau saya katakan saya langsung tidak rasa apa-apa tentang pertunangan itu. Bagaimanapun, susah hendak saya jelaskan dengan kata-kata tentang perasaan saya itu.
Apa yang pasti perasaan saya itu bukanlah satu perasaan yang orang lain ingin rasakan. Walau apa pun, saya terima ketentuan Allah. Sudah jodoh dia dengan lelaki itu. Saya hanya dapat doakan yang terbaik untuknya. Hidup perlu diteruskan dan saya bersyukur kerana masih punya keluarga, kawan-kawan dan peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap saya,” ujar Aliff lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, Aliff sempat memberitahu sehingga kini dia tidak pernah menyesal mengenali Anne Ngasri. Baginya, Anne adalah seorang wanita yang cukup sempurna.
Erma Fatima Mahu Filemkan Kisah Hidup Tun Mahathir
JIKA adiknya, Umie Aida meluahkan hasrat untuk mengangkat naskhah teater 'Tun siti Hasmah' ke layar perak, berbeza pula dengan pengarah tersohor, Erma Fatima yang mahu mengabadikan kisah hidup Tun Mahathir dalam bentuk filem.
"Jika diberi peluang, saya teringin mengangkat kisah hidup Tun Mahathir ke layar perak. Malah, jika ada peluang lagi, saya mahu mementaskan semula teater 'Tun Mahathir'.
"Perjalanan hidupnya cukup indah untuk dikongsi. Cuma bezanya, saya mahu memaparkan cerita di sebalik hidupnya ketika menjadi Perdana Menteri. Terlalu banyak jerih perih dan kesusahan yang ditanggung untuk membangunkan negara ini," ujar Erma yang membayangkan Esma Daniel sebagai watak Tun Mahathir.
Dalam perkembangan lain, tahun depan Erma sekali lagi ke pentas Istana Budaya dengan mengadaptasi filem hebat 'Ombak Rindu' ke versi teater.
Mengikut perancangan, teater 'Ombak Rindu' bakal dipentaskan pada Mac 2013 dengan membariskan pelakon-pelakon utama filem tersebut iaitu Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani.
Teater ini adalah terbitan Rumah Karya Citra dengan kerjasama Istana Budaya.
Saya Dah Sedia Nak Kahwini Shila! -Sharnaaz
“SAYA cukup gembira dan bersyukur dengan kemenangan Shila pada malam ini. Kemenangan Shila ini bukanlah untuk dirinya seorang, tetapi untuk peminat dan semua pihak yang menyokong kariernya selama ini. Ini adalah titik-tolak untuk dia terus maju dalam industri muzik. Saya anggap kemenangan Shila ini sebagai sesuatu yang extraordinary.
Saya akui, saya memang mengharapkan Shila menang pada malam ini kerana saya tahu Shila sudah banyak berusaha untuk mencapai apa yang dia miliki pada hari ini. Namun, saya tidaklah meletakkan harapan yang terlalu tinggi, sebab bimbang akan kecewa pula nanti seandainya tidak menang,” ujar Sharnaaz yang turut menemani Shila ke malam kemuncak Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu.
Ditanya tentang hadiah yang bakal diberikan kepada buah hatinya itu, Sharnaaz tanpa berselindung mengakui dia belum memikirkan hadiah yang sesuai kerana masih berasa terkejut dengan kejayaan Shila itu. Walaupun begitu, Sharnaaz sempat memberitahu yang dia menganggap detik-detik kejayaan Shila di pentas AIM 19 cukup bermakna kepada dirinya kerana ia turut dikongsi bersama ibunya yang turut hadir.
“Saya rasa cukup seronok kerana pada malam ini bukan hanya saya dan ibu Shila yang ada bersama–sama dia, tetapi ibu saya juga turut hadir. Ini membolehkan kami berkongsi saat-saat gembira ini bersama-sama dan saya anggap detik ini cukup indah bagi kami berdua,” ujar Sharnaaz.
Oleh kerana karier Shila kini berada di puncak, Sharnaaz turut ditanya sama ada dia berasa bimbang atau tidak Shila akan menangguh-nangguhkan rancangan perkahwinan mereka. Jelas jejaka ini, dia tidak melihat kejayaan Shila itu sebagai satu faktor yang akan menghalang perancangan perkahwinan mereka.
“Saya dan Shila sebenarnya sudah bersedia untuk berkahwin. Kemenangan Shila pada malam ini tidak menjadi penentu sama ada kami akan berkahwin cepat atau lambat. Tetapi ia bergantung kepada perancangan kami sendiri. Kalau ikutkan hati memang saya hendak kahwin cepat. Namun, baik saya mahupun Shila perlukan masa untuk buat perancangan bagi melangkah ke alam perkahwinan. Berkahwin ini tanggungjawabnya besar. Jadi, kami tidak mahu terburu-buru. Sebagai orang Melayu, untuk sampai ke alam perkahwinan itu pun, banyak proses yang perlu dilalui sebab mengikut adat,” ujar Sharnaaz.
Alamakk... Apa Fizo Omar Buat Di Bangkok??
PELAKON Fizo Omar menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli pakaian yang bakal digunakan bagi tujuan sesi fotografi dan juga penggambaran drama serta filem ketika berada selama empat hari di Bangkok, Thailand di sini.
Fizo, 27, berkata, sebagai artis, seseorang itu perlu mempunyai koleksi pakaian yang banyak memandangkan syarikat produksi tempatan tidak menyediakan kostum untuk watak-watak tertentu dalam sesebuah karya yang dibintanginya.
“Saya mengaku, terdapat beratus-ratus helai koleksi pakaian yang saya simpan. Semuanya saya beli untuk digunakan bagi tujuan sesi fotografi dan juga penggambaran,” katanya.
Fizo ditemui mStar Online pada Isnin ketika menyertai percutian bersama media tajaan AirAsia selama empat hari di kota Bangkok bermula Jumaat lalu.
Turut sama para pegawai syarikat penerbangan itu termasuklah Pembantu Khas kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Edd Razhe.

Fizo (tiga dari kanan) bersama para pegawai AirAsia iaitu Fairuz (dari kiri),
Aziz, Edd Razhe, Qasturi dan Junne.
Para rombongan turut dibawa melawat lapangan terbang Dong Mueang yang telah diubahsuai menjadi pusat pendaratan pesawat tambang rendah yang mula beroperasi sejak 1 Oktober lalu.
Sebelum ini semua pesawat domestik dan antarabangsa mendarat di lapangan terbang Suvarnabhumi di sini.
Fizo berkata, dia tidak mementingkan jenama tetapi memadailah pakaian yang dibelinya itu sedap dipakai selain bersesuaian dengan bentuk tubuhnya.
Kata Fizo, sepanjang empat hari berada di Bangkok, dia telah membeli berpuluh-puluh helai pakaian yang dijual secara pukal di pusat belai belah Platinum Mall di sini.
Katanya, keistimewaan Bangkok kerana ia merupakan destinasi pilihan tepat bagi mereka yang benar-benar suka berfesyen kerana terdapat banyak koleksi terkini pakaian yang dijual dengan harga yang murah.
Fizo berkata, dia turut membeli baju T yang dijual dengan harga kira-kira RM30 sehelai serta kasut dengan corak menarik yang diperolehnya dengan harga RM150.
“Saya tidak malu untuk memberitahu yang saya juga memakai baju T berharga RM30. Saya sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk membeli pakaian yang sememangnya saya akan gunakan untuk tujuan kerjaya saya.
“Yalah... bila kita berlakon, orang bukan tahu pun harga baju yang kita pakai itu,” katanya.
Jelas Fizo, dia amat teruja berada di kota Bangkok selepas kali pertama mengunjunginya kira-kira 10 tahun lalu bagi menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukan Thailand dengan Real Madrid.
Bercerita mengenai percutiannya itu Fizo berkata, ia merupakan peluang yang menarik kerana sebelum ini dia sering bercuti ke Bandung, Indonesia dan Phuket, Thailand. -mstar
Borong pakaian kaw-kaw!!
Afdlin Shauki Halang Krew Produksi Minum Air... Kejam Betul!!
MEMANDANGKAN ramai pembikin filem tempatan yang berasa risau akan jumlah kutipan filem yang rendah semenjak awal tahun ini, pengarah dan bintang komedi, Afdlin Shauki meminta penggiat filem tempatan untuk memberi sokongan dengan menonton filem komedi seram beliau yang bertajuk "Pontianak VS Orang Minyak" di panggung wayang. Ini adalah demi mengurangkan kemerosotan industri perfileman tempatan yang sedang dihadapi.
"Filem adalah hidup saya dan minat kami. Terus-terang saya boleh katakan bahawa jika suatu hari nanti filem tempatan kita tidak dapat sambutan baik penonton, kita terpaksa berhenti membuat filem disebabkan kewangan yang tidak mencukupi," kata Afdlin.
Tambahnya lagi, "Industri filem tempatan kini menghadapi dugaan besar dan kami perlukan anda untuk menolong kami mengatasinya. Dengan adanya teknologi yang canggih, saya percaya bahawa jika penonton sanggup menolong kami mempromosikan filem kami menerusi pelantaran media sosial seperti Facebook dan Twitter, saya pasti yang kami mampu membuahkan lebih banyak hasil yang baik kepada penggiat filem."
Azam yang diperlihatkan oleh Afdlin kepada umum jelas ternyata dalam komedinya, "Pontianak VS Orang Minyak" yang mengandingkan pelawak terkenal di Malaysia, iaitu Johan Raja Lawak dan Nabil Raja Lawak.
Namun, pengarah filem tersebut turut mengakui kesukaran yang dihadapi beliau bersama kru filem dalam membuat sesi penggambaran di Gua Damai yang berhampiran Batu Caves.
"Penggambaran filem di gua adalah sesuatu yang mencabar untuk kami. Di sana, kami tidak dapat pergi ke tandas, dan oleh sebab hal itu, saya meminta mereka yang terlibat untuk tidak meminum terlalu banyak air," katanya sambil tertawa.
Apabila Johan Raja Lawak ditanyakan tentang pengalaman bekerja bersama saingan dan juga teman lakonan, Nabil, beliau sambil berjenaka menjawab, "Saya tiada masalah bekerja dengan sesiapa termasuk Nabil, walaupun saya tidak berapa senang dengannya. Saya terpaksa menyukainya agar kami boleh buat filem ini menjadi."
Di bawah terbitan Ismail Holdings Sdn. Bhd. dan Vision Works Sdn. Bhd., "Pontianak VS Orang Minyak" menceritakan tentang dua individu bernama Omi (Johan) dan Ponti (Nabil), yang menjadi perantis di alam ghaib di bawah tunjuk ajar makhluk popular seperti Orang Minyak dan Pontianak. Mereka berdua kemudiannya diberi suatu ujian di mana mereka perlu memusnahkan sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Puaka, yang juga merupakan tempat tinggal buah hati mereka, iaitu Bunga Cinta Kasturi dan Bunga Cinta Melur.
Filem ini turut dibintangi oleh Afdlin Shauki sendiri, Sharifah Shahirah, Sharifah Amani, Harun Salim Bachik dan Adibah Noor. "Pontianak VS Orang Minyak" akan diriliskan di Malaysia pada 22 November.
Saya Kena Bersedia Untuk Menjadi Suami! -Apek
PENJAGA GOL bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) terpaksa menyerahkan soal persiapan perkahwinannya dengan Nur Eilunie Natasha Nazri (Leuniey) Disember depan kepada pengurusnya.
Ini semua gara-gara persiapan yang lebih penting yang perlu diberikan keutamaan iaitu Piala AFF Suzuki.
Apek, 23, yang kini sedang menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan berkata, keutamaannya pada waktu ini adalah memberikan tumpuan kepada persiapan Kejuaraan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2012 yang akan berlangsung dari 24 November hingga 22 Disember ini.
"Saya tidak mahu fikir apa-apa (tentang persiapan perkahwinan) buat masa ini. Fokus saya adalah bola (persiapan Piala AFF Suzuki). Perkara lain (perkahwinan) diuruskan pengurus saya.
"Tunggu nanti, saya akan umumkan pada sidang media. Selepas Piala AFF baru saya boleh fikir mengenai perkahwinan," katanya secara ringkas kepada mStar Online.
Penjaga gol skuad Kelantan itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran 'Koleksi Ratu by Ezuwan Ismail' di sini, baru-baru ini.
Apek dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas mereka berkenalan ketika terlibat dalam iklan minyak wangi 'SimplySiti Eau De Parfum' milik penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, awal tahun ini.
Ditanya mengenai hasrat berkahwin pada usia muda, Apek berkata, jodoh adalah ketentuan Allah.
"Urusan jodoh adalah rahsia dan ketetapan Allah. Jika sudah ditentukan saya bertemu jodoh pada usia muda takkan saya hendak lawan atau tolak takdir?
"Apa pun, saya kena bersedia untuk menjadi suami," katanya yang mengakui mula menyesuaikan diri dengan tekanan kontroversi dan buruan media.
Sementara itu, Leuniey pula berkata, sebagai pihak perempuan dia lebih selesa berdiam diri dan menyerahkan soal jawab berhubung majlis perkahwinan itu kepada Apek.
"Saya tidak boleh beri apa-apa komen. Kurang manis sebab saya perempuan, biarlah Apek umumkan pada sidang media nanti.
"Alhamdulillah persiapan ke arah itu (perkahwinan) berjalan lancar secara ringkas tetapi lengkap," katanya.
Mengenai keputusan untuk bersuamikan Apek yang baru dikenalinya, Leuniey berkata, usia dan tempoh perkenalan tidak menjadi isu kerana kematangan seseorang yang lebih utama.
"Dia (Apek) matang daripada usianya. Dia faham kesibukan saya sebagai usahawan dan tidak pernah memaksa atau mencari di mana saya berada ketika bekerja.
"Pendek kata, kepercayaan antara kami yang memberikan keyakinan untuk saya menerimanya. Lagi pun, dia seorang lelaki yang menghormati ibu bapa dan keluarga saya," katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan bapa Apek iaitu Che Mat Hussain berkata, pasangan itu dijangka melangsungkan perkahwinan mereka pada 28 Disember depan atau Januari 2013.
Anne Ngasri Harap Tiada Yang Buruk Sangka
PELAKON Anne Ngasri berharap pertunangannya dengan seorang ahli politik yang berstatus duda anak satu itu tidak akan menimbulkan fitnah kononnya dia seorang wanita yang cepat berubah hati selepas putus cinta dengan penyanyi Aliff Aziz.
Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 28, berkata, kehadiran lelaki berusia 40 tahun itu dianggap sebagai satu anugerah daripada Tuhan apabila dia memulakan langkah bertemu keluarga Anne untuk meminangnya.
"Sebenarnya dia merupakan kawan saya dan Darling (kakak Anne) sejak setahun lalu tetapi ia tidak lebih daripada sahabat sahaja.
"Entah kenapa, selepas putus (dengan Aliff), kami lebih rapat sejak sebulan yang lalu dan apabila dia melamar, saya terima dia lebih-lebih lagi melihat kesungguhan dan keikhlasannya. Mungkin kami saling menepati antara satu sama lain.
"Saya pun tidak pernah menolak jodoh dan menganggap Aliff mungkin bukan jodoh saya. Diharap, tiada yang memberi persepsi negatif dengan perhubungan baru ini walaupun kehadirannya dalam hidup saya datang terlalu cepat," katanya.
Anne ditemui pada petang Ahad selepas majlis pertunangannya yang telahpun berlangsung di sebelah pagi di kediaman keluarganya, Jalan Ipoh dekat sini.
Majlis pertunangannya itu dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada kedua-dua belah pihak keluarga dan pasangan itu bakal bernikah pada Disember ini.
Bagaimanapun identiti lelaki itu kelahiran negeri Johor itu dirahsiakan buat sementara waktu sehinggalah pada hari perkahwinannya nanti.
Tambah ibu kepada Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2, itu, dia juga ingin meminta maaf kepada semua pihak merahsiakan identiti bakal suaminya itu kerana tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk.
"Selama ini orang sering menghentam saya macam-macam dan kali ini saya mahu lebih berhati-hati dan biarlah identiti tunang saya diketahui pada hari perkahwinan nanti.
"Perjalanan hidup ini adalah takdir buat diri sendiri dan diharap saya mendapat doa yang baik-baik daripada semua," ujarnya.
Anne sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan pada 26 Mei 2006 sebelum bercerai pada tahun 2010 dan mereka dikurniakan tiga cahayamata.
Dalam perkembangan lain, Anne berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran program bual bicara berkonsepkan remaja berjudul SIS untuk siaran TV9 selain beberapa projek drama dan filem.
Lawak 'KEMALUAN' Oleh Zizan... Apa Komen Fouziah Gous??
BAGI mereka yang menonton malam Anugerah Skrin 2012 yang berlangsung di Dewan Merdeka, PWTC, malam Jumaat lalu, sudah pasti anda mengetahui mengenai kata-kata Zizan Razak kepada pelakon cantik, Fouziah Gous ketika mereka berada di atas pentas bagi menyampaikan trofi Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik Drama.
Kata-kata Zizan iaitu , “Makhluk apakah ini, muka cantik tapi tiada kemaluan” sesungguhnya mengejutkan rata-rata tetamu yang hadir pada malam itu memandangkan perkataan kemaluan adalah satu perkataan yang agak sensitif untuk digunakan.
Mungkin Zizan selaku seorang pelawak menganggap ia sebagai satu gurauan namun tidak bagi penonton yang mendengarnya dan menganggap ia sebagai satu gurauan yang agak kasar dan tidak patut diungkapkan apatah lagi pada majlis penganugerahan berprestij.
Apa pula komen empunya badan, Fouziah Gous mengenai isu ini?
“Saya tak nak ambil perkara ini terlalu mendalam sangat. Mungkin dia hanya melawak saja. Bagi saya, jika serius sangat pun, takut nanti orang akan bosan. Sewaktu dia cakap begitu pun, saya tak terkejut sangat dan menganggap ia sebagai satu jenaka saja,” ujarnya yang enggan mengulas lanjut mengenai isu ini.
Maya Karin & Papa Tawan Puncak Tserkori
SELAIN mengembara dan meneroka pelbagai tempat menarik di seluruh dunia, aktiviti lasak juga tidak asing dengan aktres handalan, Maya Karin Roeckle.
Sebutlah apa saja aktiviti lasak termasuk mendaki gunung, semuanya ingin dicuba pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman yang menempa nama dalam filem Anak Halal, Ombak Rindu dan Pontianak Harum Sundal Malam ini.
Antara gunung yang pernah didakinya ialah Gunung Kinabalu, gunung di Switzerland dan Peru, Amerika Selatan sebelum ini. Terbaru, Maya menimba pengalaman yang cukup mencabar ketika mendaki Gunung Tserkori di Langtang, Kathmandu, Nepal selama lapan hari pada Oktober lalu.
Maya, 33, akui semuanya bermula apabila ayahnya yang bekerja sementara di Nepal beriya-iya memujuknya untuk turut sama mendaki gunung di sana.
“Papa memang mengajak saya seorang untuk menyertainya dan isteri mendaki gunung di Nepal itu kerana adik perempuan saya berada di New York manakala adik lelaki pula di Mexico ketika itu. Pada mulanya, saya tidak merancang mendaki gunung di Nepal, tapi kerana pujukan papa akhirnya mencairkan hati saya.
“Selepas lapan hari di kawasan pergunungan di Nepal barulah saya berasa kepuasan dan keseronokan mendaki gunung serta teringin untuk kembali lagi ke sini selepas ini. Selepas berjaya mendaki gunung di Nepal barulah saya berminat menjadikan aktiviti mendaki gunung sebagai hobi yang tetap pada masa depan,” katanya.
Bercerita lanjut soal persediaan, kata Maya, dia memang memastikan dirinya sentiasa kekal cergas dengan melakukan aktiviti berkaitan sebelum berlepas ke Nepal.
“Kalau tidak mendaki gunung pun, saya memang selalu bersenam di gimnasium, buat seni Muay Thai dan yoga untuk pastikan diri kekal cergas setiap hari.
Selain itu, saya juga menyediakan peralatan lengkap seperti baju sejuk dan
kasut sesuai untuk mendaki gunung berbekalkan pengalaman sebelum ini.
“Mendaki terutama di lokasi berisiko atau curam di luar negara memerlukan persediaan lengkap dan rapi kerana ia bukan perkara yang boleh dibuat sambil lewa atau main-main kerana boleh membahayakan keselamatan kita.
“Contohnya, saya dapat tahu ada seorang pendaki wanita warga asing yang mati ketika mendaki gunung di Nepal tahun lalu. Lebih menyedihkan, seorang bekas kawan sekolah saya dari Indonesia juga meninggal dunia ketika mendaki gunung di Switzerland, 10 tahun lalu,” katanya.
Kagumi alam ciptaan Tuhan
PELBAGAI cabaran dilalui Maya dan bapanya sepanjang pendakian selama lapan hari mendaki gunung di Nepal yang setinggi 5,000 meter itu. Namun, dia dan ayahnya tetap cekal serta tidak berputus asa untuk sampai ke puncak yang membabitkan empat fasa pendakian.
“Saya juga mengalami kecederaan. Lutut saya agak sakit dan luka di kaki dek ‘dimakan’ kasut. Hidung saya juga berdarah dan kulit pecah-pecah kerana berdepan dengan cuaca terlalu sejuk selama tiga hari berturut-turut hingga mencecah 2 darjah Celcius pada waktu malam.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak sangka mampu menawan puncak gunung itu dengan hanya makan telur, sayur dan roti saja sepanjang di sana. Ibu tiri saya pula hanya sampai ke fasa yang ketiga kerana dia tidak larat lagi meneruskan pendakian dan menunggu kami di bawah.
“Sepanjang pendakian, keadaan papa OK cuma apabila hampir sampai ke puncak dia mula penat dan susah hendak bernafas. Mungkin kerana faktor usianya yang sudah lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, selepas mendaki selama empat hari berturut-turut, barulah Maya dan ayahnya sampai ke puncak gunung yang ingin ditawan itu.
“Namun semua penat lelah dan kesakitan yang ditanggung hilang dalam sekelip mata apabila puas melihat keindahan puncak Tserkori yang dilitupi salji dan gunung sekelilingnya yang kini berada depan mata. Saya juga dapat lihat sempadan Tibet dari puncak gunung itu,” katanya.
Menyentuh sisi peribadinya pula, Maya yang baru memegang status solo hampir tiga tahun kini hangat terkena gosip semula dengan aktor kacak Remy Ishak, mengakui masih selesa dengan status sekarang.
“Saya memang selesa berkawan rapat dengan Remy ketika ini, tapi kami sekadar berkawan rapat. Kemungkinan kami kembali bersama pula, saya hanya serahkan semuanya kepada takdir. Setakat ini, status saya masih solo kerana masih belum bertemu calon suami yang berkenan di hati,” kata duta produk Sorella ini.
Ditanya sama ada dia beralih hobi mengembara dan menceburi aktiviti lasak seperti mendaki gunung untuk mengisi kekosongan hidupnya yang sunyi, Maya yang baru selesai penggambaran filem Jwanita arahan Osman Ali ini menafikannya.
“Hidup saya sudah bahagia dikelilingi keluarga tersayang dan teman rapat.
Selepas penat bekerja dan menghabiskan masa di lokasi penggambaran, sesekali saya juga ingin lari dari kesibukan dunia lakonan. Selain berlakon kerana minat yang cukup mendalam, saya juga gunakan duit hasil lakonan untuk mengembara ke luar negara,” katanya.
Kehadiran Zara Adelia Saat Teristimewa Dalam Hidup Adi Putra
"PERTAMA kali mendukungnya, saya tidak terkata. Jiwa saya tersentuh. Saya sudah lama menanti kehadirannya. Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya. Ia saat yang istimewa, bila menyedari saya kini seorang ayah," cerita Adi Putra, membuka bicara tentang puteri sulungnya Zara Adelia Haadi yang telah diperkenalkan kepada pengikut-pengikut di Twitter pada 24 Oktober lalu.
Kongsinya, perancangan untuk mengambil anak angkat sudah lama dipertimbangkan. Cuma kata putus itu diberikan baru-baru ini. Tidak kisah sama ada anaknya lelaki atau perempuan, dia juga memberitahu namanya datang secara kebetulan. Zara bermaksud puteri, Adelia, keadilan, dan Haadi pula adalah namanya.
"Perubahan pada diri saya semestinya ada. Tidak bermaksud saya tidak matang sebelum ini tetapi cara pemikiran, rasa tanggungjawab, ciri-ciri kebapaan, ia lebih nyata. Kini, saya perlu cergas dari segi mental untuk bekerja kerana 'when I work it's for her'."
Tambah Adi Putra, seperti bapa-bapa lain dia seorang yang 'hands on', menolong menukar lampin Zara yang berusia 18 hari, menyusukannya serta bergilir-gilir dengan isteri menjaganya bila dia bangun pada pukul 3.30 pagi.
Farid Kamil & Diana Danielle Akan Ke Istanbul
SETELAH sah menjadi suami isteri pada Sabtu lalu, pasangan pelakon popular, Farid Kamil dan Diana Danielle akan berangkat ke Istanbul, Turki untuk berbulan madu di sana.
Destinasi ini dipilih setelah perancangan awal untuk mengerjakan umrah terpaksa ditangguh atas alasan yang tidak boleh dielakkan.
"Memang kalau ikutkan perancangan asal saya mahu membawa Diana menunaikan umrah tapi memandang pada bulan Disember, visa untuk ke Makkah hanya dikeluarkan kepada individu-individu tertentu sahaja, jadi saya ubah perancangan saya.
"Mungkin kami akan ke Istanbul terlebih dahulu, dan dari sana barulah kami akan ke Makkah. Bagaimanapun, tarikh sebenar bulan madu itu masih belum ditetapkan," ujar Farid.
Sebelum ini, pasangan sejoli ini selamat dinikahkan oleh Pegawai Tabir Agama/Pendaftar Kanan Daerah Gombak, Daim Jajuli dalam suasana penuh romantis di Hotel Flamingo By The Lake Ampang, Ampang.
Farid menyediakan lima dulang hantaran termasuk mas kahwin RM10,000 dan wang hantaran RM20,000 dalam bentuk pelaburan nilai emas, manakala Diana membalas dengan tujuh dulang.
Kira-kira 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua pihak, rakan media dan rakan artis hadir pada majlis penuh bermakna ini.
Apex-Leuniey Akan Berkahwin Disember 2012??
PENJAGA GOL popular negara, Khairul Fahmi Che Mat, 22, atau lebih mesra dengan panggilan Apex, dikhabarkan akan menamatkan zaman bujangnya pada bulan Disember ini dengan gadis pilihan hati, Nur Eilunie Natasha Nazri atau lebih dikenali dengan nama Leuniey, 21.
Apex baru-baru ini mengakui hubungannya bersama Leuniey semakin serius, dikatakan tidak akan mengadakan majlis pertunangan sebaliknya akan bernikah terus.
Menurut sumber itu lagi, persiapan untuk majlis perkahwinan tersebut kini sedang rancak dibuat.
Dua majlis persandingan akan diadakan iaitu satu di Hotel Renaissance Kota Bharu dan satu lagi di Hotel Perdana Beach Resort Kota Bharu.
Tahniah diucapkan kepada Apex dan Leuniey!
Farid Kamil & Diana Danielle Nikah 3 November
Sekali lagi, Farid Kamil memberi sebuah kejutan kepada orang ramai apabila beliau mengumumkan tarikh perkahwinan beliau dengan Diana Danielle, 21, di majlis pratonton filem "PE3" semalam.
"Setelah mendapat restu kedua ibu bapa saya, saya ingin mengumumkan bahawa saya dan Diana akan melangsungkan perkahwinan kami pada 3 November ini. Saya berharap dengan pengumuman ini, ramai pihak akan mendoakan yang terbaik buat kami," kata beliau.
Menurut pelakon dan pengarah berumur 31 tahun ini, tarikh pernikahan sudahpun ditetapkan tidak lama selepas mereka bertunang secara diam pada awal bulan September yang lalu.
Bulan November dipilih kerana ianya adalah bulan kelahiran Diana, yang mana harijadinya jatuh pada 22 November.
Majlis resepsi bakal diadakan di Hotel Flamingo, Kuala Lumpur sehari sebelum harijadi Diana, iaitu pada 21 November, diikuti pula dengan resepsi di kampung halaman Farid di Alor Setar, Kedah.
Turut hadir di majlis tayangan perdana "PE3" adalah Diana Danielle sendiri, yang juga sering datang berkunjung ke set penggambaran filem itu sebelum ini.
Misha Omar Jatuh Hati??
“SEKARANG saya jatuh hati pada dunia lakonan,” katanya selepas ditemui pada sidang media Anugerah Skrin baru-baru ini.
“Saya ada juga mendapat tawaran lakonan, dan sepatutnya dalam minggu ini saya sedang menjalani penggambaran di lokasi, tetapi saya terpaksa menolak kerana kesihatan saya yang tidak mengizinkan saya untuk turun ke lokasi penggambaran,” ujarnya.
Beliau juga tidak menolak sekiranya mendapat tawaran lakonan yang lain pada masa hadapan.
“Saya tidak akan menolak tawaran lain sekiranya tidak ada pertembungan dengan jadual nyanyian saya, kerana nyanyian adalah yang pertama dalam karier saya,”katanya.
Kami juga sempat bertanyakannya mengenai lambakan penyanyi-penyanyi baru yang sedang meningkat naik, dan ini komennya:
“Saya sudah 10 tahun dalam industri, janji ‘keep on going’ saya tidak rasa takut atau bimbang, kerana bagi saya itu adalah salah satu perkembangan yang sihat, dan kita dapat lihat di sini bahawa, sekarang ini cukup senang untuk menjadi artis, cuma kena kreatif, seperti ‘upload’ lagu-lagu tersebut ke ‘youtube’ dan peluang terbuka luas.”
“Kita boleh lihat contoh Yuna, Najwa Latiff, mereka sangat bagus dan kreatif kerana kita boleh lihat kualiti yang ada pada mereka dan dengan kehadiran mereka dapat memeriahkan lagi industri muzik tanah air,”ujarnya kepada kami.
Misha juga yang sepatutnya, melangsungkan perkahwinannya pada tahun ini terpaksa ditangguhkan di atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.
“InsyaAllah, mungkin tahun depan saya kahwin, kita tangguh perkahwinan ini pun untuk kebaikan bersama, saya bagi peluang dan ruang padanya untuk ‘training’ sehinggalah dia tamat. Selepas itu kita tengoklah macam mana nanti,”ujarnya mengakhiri perbualan.
Misha Omar merupakan salah seorang artis yang akan membuat persembahan di malam Anugerah Skrin yang bakal berlangsung pada 9 November depan.
"Saya & Johan As'ari Putus Cinta??" - Nabila Huda
NAMPAKNYA kontroversi demi kontroversi melanda anak sulung Amy Search, Nabila Huda. Setelah dikritik hebat apabila tampil dengan imej seksi di Anugerah Blokbuster, Nabila dan Johan As’ari pula dikatakan putus cinta kerana mendapat tentangan keluarga Johan.
Walau bagaimanapun, Nabila menafikan sekeras-kerasnya bahawa hubungannya dan Johan telah putus.
“Saya tak faham macam mana orang boleh buat cerita bahawa saya dan Johan putus cinta sedangkan tiada sebarang hubungan pun terjalin antara kami selain hanya kawan baik”, kata Nabila ketika ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2012.
Mengenai hubungan mereka mendapat tentangan keluarga Johan, Nabila menyatakan dia sudah lama tidak menemui keluarga Johan.
“Tak logik keluarga Johan tak terima saya kerana saya hanya berkawan dengan Johan. Lagi pun sudah lama saya tidak menemui mereka”, katanya.
Nabila juga menyatakan dia sudah bosan dengan gosip tentang dirinya dengan Johan yang tidak berkesudahan.
“Saya dah bosan dan penat cakap benda yang sama dari dulu. Saya dan Johan hanya kawan baik. Tiada hubungan cinta, tiada perpisahan dan sebagainya”, tambah Nabila.
Sementara itu, pasangan yang sering dilanda kontroversi ini telah terlibat dalam satu kemalangan di Penchala Link ketika dalam perjalanan ke sidang media Anugerah Skrin 2012, di The Royal Bintang Damansara baru-baru ini.
Dengan cuaca hujan dan jalan licin, Nabila dan Johan As’ari buru-buru menuju ke sidang media Anugerah Skrin setelah selesai sesi fotografi di Shah Alam.
“Dalam perjalanan kesini, kami terlibat dalam kemalangan dimana kereta Proton Inspira yang dipandu Johan telah hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan”, kata Nabila.
“Alhamdulillah, kami selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan”, tambahnya.
HANS ISAAC NAFI BERCINTA DENGAN NEELOFA!
AKTOR serta penerbit popular Hans Isaac menafikan beliau dan aktres jelita Neelofa sedang bercinta, sekaligus menepis dakwaan sebuah portal yang menulis kononnya beliau mempunyai hubungan yang serius dengan pengacara Nona itu.
Walau bagaimanapun, pemilik nama Gerald Hans Isaac ini mengakui masih di peringkat berkawan dengan pelakon filem Azura 2012 itu dan memberitahu tidak melihat hubungan yang terjalin ini akan sampai ke tahap yang lebih serius buat masa ini.
“Sejak dulu sampai sekarang saya sudah tegaskan yang saya dan Neelofa hanya berkawan. Sejauh mana perkenalan kami, itu adalah hal peribadi kami dan saya tidak selesa untuk menyentuh mengenai hal ini melainkan hal kerjaya saya kepada umum.
“Jika benar saya bercinta, saya akan maklumkan kepada semua dan tidak perlu untuk keluar sebarang gosip yang tidak benar,” ujar pemuda berusia 41 tahun ini mengulas mengenai isu yang timbul.
Neelofa gagal dihubungi bagi mendapatkan reaksi beliau mengenai hal ini.












.jpg)
.jpg)





















