INFO OSEMMM!!:

PERGH OSEMMM!!

OWHHH OSEMMM!!

WOW OSEMMM!!

    Kompilasi 'The Best Of Innuendo' ~ Membelai Jiwa...


    KUMPULAN R&B yang pernah terkenal dengan lagu Belaian Jiwa iaitu Innuendo kembali dengan sebuah album kompilasi berjudul The Best of Innuendo yang menghimpunkan 37 lagu dalam sebuah album.

    Kelebihan album tersebut adalah selain menampilkan lagu-lagu hit mereka seperti Selamanya, Only Dancin, Until The End Of Time, Gemawan dan Ratu Hati, syarikat rakaman Warner Music/EMI Malaysia turut menyelitkan beberapa lagu mereka yang tidak pernah dikeluarkan sebagai single untuk para peminat kumpulan itu.

    Mendengarkan lagu-lagu kumpulan yang dianggotai oleh empat ahli iaitu Reymee, Taj, Pot dan Sam ini cukup menghiburkan dengan kebolehan nada tenor mereka yang konsisten dan bertenaga.

    Ia mengimbau kembali mengapa ramai di antara peminat jatuh cinta dengan kehebatan vokal kumpulan tersebut sehingga meletakkan mereka sebaris dengan artis terbaik di negara ini suatu ketika dahulu.

    The Best Innuendo turut menampilkan lagu duet mereka bersama beberapa artis terkenal tanah air seperti Selamanya (Camelia), Jezzebelle (Too Phat), Nanti (Ruffedge & VE), Father With Us (Poetic Ammo) dan MVP (Naughtius Maximus) dan It's Nice to be Alive (Poetic Ammo).

    Antara lagu lain yang dimuatkan adalah So Good Inside, Just For You, Squeeze, Don’t You Wanna Be, Swithching Of, Live Feel, Until The End Of Time, Body Song, A Lost Fairy Tale, Forever, Booties In The City, Come On With Me, 12 The Movies dan Surroundtype Me.

    Manakala turut ditampilkan lagu Only You, Back To The Future, The Way We Like It, Cant Wait (The Proposal), Tidur Sayang, If I Could, Innuendo Feel, Tell Me, Movie Intermission, Body Song (Remix) dan Trois.

    6ixth Sense Tampil Album Konsep Ketuhanan


    SELARI dengan aliran terkini, 6ixth Sense tampil dengan album terbaru berjudul ‘ Tentang Kita’ yang ternyata mewarnakan lagi industri muzik tanah air sekali gus memberi variasi kepada pendengar yang menginginkan kelainan dari semasa ke semasa.

    Keunikan Tentang Kita dikeluarkan khusus sempena bulan Ramadan kerana berunsur kerohanian. Judul album dipilih kerana dianggap simbolik kisah hidup manusia yang mencari keredhaan Tuhan tidak mengira sama ada manusia itu berada dalam kesusahan atau dalam lambakan nikmat Tuhan.

    “Penantian kami akhirnya membuahkan hasil kerana kami sudah lama menyimpan hasrat untuk melahirkan album penuh yang berkonsepkan kerohanian. Kami ingin menampilkan kelainan kepada para peminat namun lagu-lagu yang dimuatkan tidaklah terlalu mendalam,” kata vokalis 6ixth Sense,Adi ketika pelancaran album Tentang Kita di Tumis @5, Solaris Dutamas semalam.

    Tambah Adi, dia berharap agar album tersebut mendapat sambutan yang baik daripada pendengar kerana berpendapat mesej yang cuba disampaikan tidaklah terlalu berat namun berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia seperti kasih sayang terhadap ibu bapa, kedamaian, memohon bantuan Tuhan dan berselawat ke atas junjungan Rasul.

    6ixth Sense menegaskan yang mereka bukanlah ingin berdakwah tetapi ingin mengingatkan diri sendiri dan mengajak para peminat untuk menyelami nadi asas kerohanian yang terdapat dalam album ini. Mereka tidak menafikan penghasilan album ini paling mencabar setakat ini kerana genre yang berlainan.

    Album ini turut memuatkan single pertama yang menampilkan kumpulan nasyid Saujana yang berjudul Penerang Hati ciptaan Faiz Azizi Arlis atau lebih kenali dengan Gjie. Lagu ini mendapat sambutan positif dan semakin mendapat tempat di carta radio tempatan.

    Lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid tempatan iaitu Nowseeheart dan Hijjaz adalah antara lagu yang diberikan nafas baru oleh kumpulan 6ixth Sense dengan mengekalkan keunikan tersendiri mereka.

    Penerbit Mujahid Abdul Wahab yang berpengalaman menerbitkan album 6ixth Sense sejak kumpulan ini sejak mula menempatkan diri dalam persada seni, diberikan kepercayaan untuk menyumbang idea kreatif bagi album ini. -GUA

    Apa Yang Bunkface Tak Puas Hati??


    SUDAH tidak tahan dengan sikap bermuka-muka terhadap band tempatan, Bunkface telah muncul dengan album keduanya 'Bunk Not Dead' yang dianggap interpretasi ketidakpuasan hati Sam, Youk dan Paan terhadap layanan yang berat sebelah terhadap band-band tempatan.

    'BUNK NOT DEAD!' - INTERPRETASI KETIDAKPUASANHATI BUNKFACE

    APDipetik daripada Berita Harian, Bunkface menyuarakan kekecewaan apabila band tempatan tidak diberikan peluang yang sama rata, dan menyifatkan orang kita lebih mengagung-agungkan penyanyi luar terutamanya dengan fenomena K-pop dimana jutaan ringgit dilaburkan untuk mengundang kumpulan Korea, manakala band tempatan hanya akan tampil dalam persembahan percuma.

    "Kami sudah tidak tahan dengan sikap segelintir pihak yang memandang rendah terhadap band tempatan. Kami faham penganjur boleh buat duit dengan mengundang penyanyi antarabangsa, tapi bagaimana nasib band tempatan? "

    Bunkface berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi mendidik masyarakat tidak terlalu bergantung kepada konsert percuma.

    "Inilah silapnya apabila orang ramai terlalu didedah dengan konsert percuma. Penganjur pula berpendapat, apabila persembahan membabitkan artis dan band tempatan, ia mesti dilakukan secara percuma. Jika begitu, band tempatan tidak boleh cari makan lah."


    Sementara itu, Bunkface berkara lagu 'Kita Perang Kita Menang' adalah terjemahan mereka terhadap isu tersebut dan ia juga merupakan langkah pertama dalam memperjuangkan nasib pemuzik tempatan.

    Mereka turut berkata mereka tidak takut jika lagu mereka diharamkan di corong-corong radio kerana niat mereka hanyalah untuk menyedarkan masyarakat agar tidak terus ditindas.

    "Lagu kami bukan bertujuan memprotes, tetapi untuk menyedarkan masyarakat. Perkara itu juga antara yang mengecewakan kami, apabila pemuzik ada kalanya tidak bebas berkarya. Bila buat lebih-lebih mesti kena.

    "Walhal tujuan kami hanya mahu menyelamatkan industri,"jelas Sam.

    WINGS KINI BERNAUNG DI BAWAH KRU MUSIC


    SYARIKAT rakaman KRU Music yakin dengan penerimaan pendengar terhadap muzik rock yang dibawa oleh kumpulan rock lagenda yang kini berusia 25 tahun iaitu Wings untuk merakamankan album terbaru dibawah naungannya.

    Bertempat di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada hari Jumaat yang lalu telah berlangsungnya majlis perasmian memperkenalkan Wings sebagai artis baru dibawah naungan KRU Music. Ini adalah antara kepercayaan yang diberikan oleh kumpulan lagenda itu dalam proses mengeluarkan album terbaru berjudul "Menakluk Kosmos".

    Ujar Norman Abd. Halim selaku Presiden Eksekutif KRU Studio, dia amat teruja dalam melaksanakan projek ini kerana Wings bukanlah sebuah kumpulan biasa namun populariti yang dikecapi hingga kini memungkinkan KRU sanggup berlabur besar untuk album yang bakal diterbitkan nanti.

    "Bukan mudah untuk mengajak mereka bernaung dibawah syarikat kami, lagi-lagi mereka sudah banyak pengalaman dengan syarikat rakaman sebelum ini. Namun perjanjian dan juga kontrak telah dipersetujui semua setelah memakan masa hampir 2 bulan untuk mendapat kata putus dari kedua-dua belah pihak.

    Akhinya semuanya berjaya dan saya serahkan semua proses pembikinan album dan juga material kepada pihak mereka kerana percaya dengan kebolehan mereka sebagai artis lama di dalam industri hiburan ini."
    Norman turut menambah, sekarang dia telah memberikan kepercayaan penuh kepada artis dibawah naungannya untuk berkarya tanpa batasan.

    "Kesemuanya saya serahkan kepada mereka dari segi pembikinan album namun dari segi publisiti dan juga pembikinan video klip saya rasa kami sudah memiliki kepakaran yang cukup hebat."

    Selepas lebih kurang 10 tahun tidak menghasilkan album , Awie selaku jurucakap kumpulan memberitahu bahawa projek ini boleh dikatakan sebagai sebuah projek saudara dimana dia mengambil keputusan untuk menerima tawaran dari KRU disebabkan oleh mereka adalah orang tempatan.

    "Saya berasa terpanggil untuk menerima tawaran mereka setelah melihat kontrak yang diberikan. Saya berpuas hati dan juga apa yang boleh saya cakapkan disini adalah, saya mahu kami sesama saudara saling bantu-membantu. Saya yakin dengan tenaga kerja pihak mereka terutamanya di bahagian promosi dan jualan mampu untuk menaikkan kembali nama Wings seperti dahulu."

    "Menakluk Kosmos" adalah album studio Wings yang ke 10 dimana ia akan memuatkan beberapa lagu baru dan juga rentak yang dimainkan juga akan lebih mengikut peredaran semasa.

    Antara artis lain yang bernaung dibawah syarikat rakaman KRU Music adalah kumpulan MOJO, Forteen, V.I.P, Baby Shima, Ad Azhar, Mira Asyraff dan Kamilia.

    KAMI ADALAH "SANG ENEMY"!! - NOH HUJAN


    Selepas berjaya merangkul gelaran juara 'Versus', kumpulan Hujan telah tampil dengan album ke-4 mereka berjudul "Sang Enemy".

    Menurut Noh yang merupakan vokalis utama kumpulan Hujan berkata, judul album mereka "Sang Enemy" ini adalah merujuk kepada diri mereka sendiri.

    "Judul 'Sang Enemy' itu sebenarnya merujuk kepada diri kami sendiri (Hujan). Kami adalah Sang Enemy kepada band-band dan mereka-mereka yang sebelum ini tidak boleh menerima kehadiran kami di dalam arus mainstream,"katanya ketika ditemui pada Listening Party album terbaru mereka di Blackbox Publika, di sini.

    Jelas Noh, album terbaru mereka ini adalah jauh berbeza kerana mereka menampilkan lagu-lagu berunsur rock dan balada berbeza dengan album mereka sebelum ini yang berkonsepkan Alternative Rock.

    Pada album kali ini, mereka akan berkolaborasi dengan beberapa nama besar dalam industri muzik seperti Yuna, Jerry Kamit dan Joe dari The Padangs. Hujan turut akan menampilkan kolaborasi bersama artis antarabangsa seperti DJ Souljah, DJ 1 2 dari Jepun, Wise & Tarantula serta bersama penyanyi asal lagi hits 'Lonely Soldier Boy', Andy Koyama.

    MAHER ZAIN LIVE KONSERT DI MALAYSIA 16 JUN INI!!


    Selepas konsertnya sebelum ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat. Penyanyi yang popular dengan lagu hit "InsyaAllah" akan kembali mengadakan konsertnya di Malaysia pada bulan ini iaitu konsert "Maher Zain 'Forgive Me' Live di Malaysia" yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 16 Jun ini.

    Sejak pelancaran tiket pada 25 April yang lalu, pihak penganjur menyatakan bahawa ia mendapat sambutan yang sangat hebat daripada peminat-peminat Maher Zain yang tidak sabar menanti konsert ini berlangsung.

    Konsert yang dibawakan oleh Canon dan dianjurkan oleh Martensia Concerts dan Awakening Records telah menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk semua pelajar yang ingin menyaksikan konsert Maher Zain bersempena dengan cuti persekolahan. Pelajar hanya perlu membawa kad pengenalan pelajar semasa membuat pembelian di mana-mana cawangan TicketCharge.

    Pada konsert Maher Zain nanti, Irfan makki dan Raef turut akan membuat persembahan sebagai artis undangan.

    Sementara itu, Maher Zain dikatakan akan membuat kejutan pada hari konsert tersebut dan akan membuat kemunculan khas sebelum hari konsert tersebut.

    Tiket-tiket boleh dibeli di cawangan-cawangan TiketCharge bermula daripada RM78 (tempat duduk bebas), RM138, RM238 (tempat duduk bernombor), dan VIP RM298.

    Untuk keterangan lanjut mengenai konsert boleh menghubungi Marctensia di talian 03 20921199 atau layari lama sesawang www.marctensia.com. Untuk tempahan melalui talian, sila hubungi TicketCharge di talian 03 92228811 atau layari laman sesawang www.ticketcharge.com.my.

    CIPTA EKSPRES 2012 - SASAR 20 CIPTAAN LAGU BARU!

    Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) akan menganjurkan majlis Cinta Ekspres 2012 pada 11 hingga 14 Jun ini yang bertujuan menambahkan khazanah lagu-lagu di kalangan ahli badan itu.

    Ia akan berlangsung di Residence Desa Lagoon Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Habsah Hassan
    Pengerusinya, Habsah Hassan berkata, pada majlis itu nanti komposer dan penulis lirik akan membawa karya masing-masing dari rumah dan mereka akan melalui proses pertukaran karya yang akan dilakukan seacara undian.

    “Seorang komposer akan menerima sebuah lirik dan dia akan menghasilkan lagu berdasarkan lirik itu manakala komposer berkenaan pula akan memberikan lagunya kepada mana-mana penulis lirik untuk mendapatkan seni kata yang menarik.

    “Cara itu dibuat untuk membolehkan kedua-dua pengkarya berkenaan dapat bekerja dengan sesiapa sahaja,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Isnin.

    Katanya, proses itu dilihat akan lebih adil setiap pengkarya tidak bersikap memilih individu yang mereka suka untuk menjalinkan kerjasama.

    Dijangkakan 20 lagu berserta lirik yang lengkap dapat dihasilkan sepanjang berlangsungnya program tersebut. -mstar

    Sementara itu mengenai pemilihan peserta, Habsah memberitahu Cipta Ekspres 2012 membuka peluang kepada ahli yang belum pernah menyertainya terutama kepada karyawan muda.

    Selain penciptaan lagu dan lirik serta pembikinan muzik, Cipta Ekspres 2012 mengadakan aktiviti sukan di kalangan peserta yang akan diketuai oleh penulis lirik prolifik negara, Ad Samad.

    Komposer dan penulis lirik yang ingin menyertai majlis berkenaan bolehlah menghubungi MACP di talian 03-62078638.

    Syarikat rakaman dan juga individu yang mahu mencari lagu baru juga dialu-alukan untuk menyertainya.

    19 JUN - KONSERT JELAJAH JASON MRAZ DI MALAYSIA!


    Penyanyi yang terkenal dengan lagu "I'm Yours", Jason Mraz bakal mengadakan konsert jelajah buat kali kedua di Malaysia pada 19 Jun 2012.

    Konsert Tour Is A Four Letter Word kali ini bertujuan untuk mempromosi album terbarunya, "Love Is A Four Letter Word" dan peminat bakal menyaksikan Mraz bergandingan dengan kumpulan muziknya sendiri.
    Kali pertama penyanyi berusia 34 tahun ini mengadakan konsert di Malaysia adalah pada tahun 2009.

    Lapan peminat bertuah yang membeli tiket ke-200, 400, 600, 800, 1000, 1200, 1400 dan 1600 berpeluang memenangi satu pas belakang pentas dan bertemu Mraz.

    Bakal diadakan di Stadium Merdeka pada jam 8.30 malam, peminat boleh mendapatkan tiket jenis Arena yang mempunyai tempat duduk bernombor dijual dengan harga RM95, RM185, RM298 dan RM345, manakala tempat duduk bebas pada harga RM75 dan RM235.

    Tiket dijual secara talian di laman sesawang AirAsiaRedTix atau dapatkannya di cawangan Rock Corner, Victoria Music Centre dan juga KL Live Centre.

    Dapatkan album cakera padat deluxe "Love Is A Four Letter Word" yang mengandungi 18 buah lagu termasuk empat lagu yang dipersembahkan secara 'live' serta video "I Won't Give Up". Album ini sudah mula dijual sejak 17 April lalu.

    Konsert jelajah Jason Mraz ini dibawakan oleh Scenique Concerts & Events Sdn. Bhd. dan Live Limited dengan kerjasama Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd.

    TRAIN Di KL 16 JUN INI!!


    Kumpulan pop yang kini sedang popular dengan lagu hits mereka, "Hey, Soul Sister", Train bakal mengadakan konsert pertama di Malaysia pada 16 Jun akan datang bertempat di KL Live, Jalan Sultan Ismail.

    Dibawakan oleh Tune Talk dan dianjurkan oleh JS Concert Productions dan Fat Boys, peminat dijanjikan satu persembahan bertenaga daripada Train yang dianggotai oleh Patrick Monahan (vokal), Jimmy Stafford (gitar) dan Scott Underwood (dram) dan dapat bertemu mereka dengan lebih dekat lagi.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Talk, Jason Lo berkata, "Kami gembira dapat bekerjasama dengan kumpulan yang mendapat pencapaian menakjubkan seperti Anugerah Grammy, Anugerah Muzik Billboard dan juga Anugerah Muzik Pop ASCAP untuk kategori Lagu Tahunan Terbaik.

    "Sebagai seorang pencinta muzik, kami berbangga dapat membawa Train untuk mengadakan persembahan di Malaysia," kata Lo.

    Train mula diasaskan pada tahun 1994 dan muncul dengan album pertama mereka, "Train" pada tahun 1998 dengan lagu hits "Meet Virginia". Walaubagaimanapun kumpulan yang berasal dari San Francisco ini mula mencipta populariti pada tahun 2001 apabila album kedua mereka, "Drops Of Jupiter" dipasarkan sehingga berjaya memenangi dua anugerah di Grammy tahun seterusnya.

    Train dilaporkan baru sahaja menghabiskan rakaman album studio keenam mereka berjudul "California 37" dengan mempromosi lagu "Drive By" sebagai single terbaru mereka.

    Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM288 (Zon Tune Talk), RM188 (Zon Chill Out) dan RM128 (Zon Biasa) di cawangan Rock Corner, Victoria Music Centre dan The Guitar Store atau menerusi talian di laman sesawang Ticket Pro.