[Video] Bekas Anggota Ruffedge Didakwa Rogol Anak Tiri
SEORANG bekas anggota kumpulan Ruffedge hari ini didakwa merogol anak tirinya berumur 14 tahun, Februari lalu.
Lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Roszianayati Ahmad.
Dia yang memakai baju kemeja-T berwarna biru didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Taman Gombak Jaya, jam 9 pagi pada 9 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Dalina Ali tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberi jaminan kerana dia perlu menyara kedua anak kandungnya.
Roszianayati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh tinggal serumah dengan mangsa dan tidak mengganggu mangsa.
"Tertuduh juga diarah melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.
Mahkamah menetapkan 25 Januari depan sebagai sebutan semula kes. SH
"Ampunkan Saya, Mak!" - Fazurina
PELAKON drama bersiri Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd Famir hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sebelum ibunya itu ditarik ahli keluarganya yang lain meninggalkan sidang media dibuat pelakon berusia 30 tahun itu di Bayan Baru di sini, bagi menjelaskan kontroversi perkahwinannya, semalam.
Ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, hadir pada sidang media itu bersama abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya yang lain, Mohd Fauzi Mohd Famir, 24, dan Mohd Firdaus Mohd Famir, 22. Bagaimanapun, mereka hanya berdiri berhampiran kumpulan media dan hanya mendengar sidang media tanpa berkata apa-apa.
baca berita lanjut DI SINI (KLIK)
.
'Perang Twitter' Antara Zed Zaidi & Julia Perez
RENTETAN perang mulut di Twitter antara Presiden Seniman, Zed Zaidi dan pelakon kontroversi Indonesia, Julia Perez, berhubung penglibatan aktres tersebut dalam sebuah produksi tempatan mengundang padah apabila Zed Zaidi mengesahkan Julia bekerja atau 'shooting' tanpa permit yang sah.
Zed yang dipetik menerusi status akaun Twitternya memberitahu;
"SAH JULIA PEREZ masuk ke MALAYSIA shooting TANPA PERMIT!!!"
Justeru, Zed Zaidi meminta pihak berwajib seperti imegresen dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyiasat kes tersebut.
Dalam satu lagi status, Zed menyebut pihak FINAS akan menjalankan siasatan dan serbuan di lokasi penggambaran filem 'Sumpahan Malam Pertama' arahan Murali Abdullah yang terletak di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.
"Perceraian Ini Satu Kesilapan..." - Datuk Aziz Sattar
PELAKON veteran, Datuk Aziz Sattar, 87, bakal menikahi kembali bekas isterinya, Hashimah Delan, 54, selepas pasangan ini dilaporkan bercerai pada 3 Mac lalu.
“Insya-Allah, kami akan nikah semula dalam masa seminggu dua ini. Bukan sengaja mahu menangguhkan perkara yang baik, cuma kebetulan saya sibuk menjalani penggambaran dan juga dimasukkan ke hospital kerana kurang sihat," ujarnya yang dipetik dari portal berita BH Online.
Sebelum ini, Aziz seakan mengelak apabila ditanya mengenai berita perpisahan mereka, selain memberikan kenyataan yang seakan menafikan cerita terbabit.
“Saya tak mahu apabila terlalu bercerita soal perceraian, ada orang yang akan mengambil kesempatan. Maksud saya, ada pihak lain nanti yang akan cuba memecah-belahkan lagi hubungan kami dengan cara menghasut.
“Terus terang saya akui perceraian ini adalah satu kesilapan. Pada masa itu, fikiran dan perasaan saya tidak tenang kerana berlaku perselisihan faham kecil antara kami. Lagipun pada masa itu saya penat dan baru pulang dari Kuantan, Pahang, pada sebelah tengah hari. Apabila berlaku perselisihan faham, tiba-tiba terkeluar lafaz cerai," ujarnya mengharapkan yang terbaik menerusi peluang kedua yang diberikan itu.
Ezad (Exist) Kempunan Ke Jinjang Pelamin
MASIHKAH anda ingat dengan Mohd Rohaizad bin Mohd Lazim (Ezad exist) atau kini lebih dikenali sebagai Ezad Lazim? Berita terkini tentang penyanyi solo yang popular dengan lagu 'Renyai di Hati' tidaklah begitu menyenangkan apabila beliau sendiri mengesahkan sudah putus tunang.
Malah majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu dengan pembantu peribadi, Asliza Abdullah, tidak kesampaian. Perkenalan selama empat tahun dengan bekas tunangnya itu gagal bertahan lantaran dakwanya pihak perempuan tidak bersungguh mahu ke jinjang pelamin.
Untuk imbasan, pada 1 Jun 2012, Ezad telah mengikat tali pertunangan dengan Asliza yang juga merupakan pengurus beliau sendiri. Majlis pertunangan tersebut telah di adakan di rumah pihak perempuan dalam majlis yang serba ringkas di mana hanya keluarga terdekat dan kenalan rapat sahaja yang hadir.
"Nak buat macam mana, mungkin kami tidak ada jodoh untuk hidup bersama. Lain yang dirancang, lain pula yang terjadi.
"Inilah kali pertama saya melalui pengalaman putus tunang dan ia bukannya mudah kerana saya begitu serius dengan pehubungan ini.
"Bagaimanapun saya masih lagi mengharapkan sesuatu yang baik terjadi antara kami, manalah tahu," ujar Ezad kepada media.
"Saya harap tiada yang menuding jari kepada sesiapa tentang hal putus tunang ini. Bagi saya ia adalah satu pengajaran dan iktibar yang besar buat kami berdua.
"Bukan mudah juga untuk saya membuat kenyataan sebegini kepada pihak media kerana saya sendiri tak tahu untuk jawab apa apabila disoal tentang hal ini," katanya.
"Saya sebenarnya susah untuk menyukai seseorang dan apabila perkara begini berlaku, sukar untuk saya jelaskan apa yang terasa di hati.
"Sampaikan keluarga memberikan cadangan untuk membiarkan mereka mencarikan bakal isteri yang sesuai, tetapi saya tak nak. Serik rasanya. Biarlah, saya serahkan jodoh ini kepada Allah S.W.T.
"Dan saya ingin memberi fokus kembali terhadap karier saya selepas ini," tambah Ezad dengan nada sedih. -myartis
Penjelasan Azhar Sulaiman Mengenai Isu 'Saya Murtad'
"KENYATAAN saya keluarkan dalam laman sosial Facebook, adalah respons daripada tajuk utama yang dipaparkan dalam sebuah akhbar semalam (kelmarin) iaitu 'Nik Aziz dakwa Umno murtad'."
Begitulah penjelasan yang diberikan oleh aktor terkenal, Azhar Sulaiman, berhubung kenyataan mengenai dirinya kerana menjadi ahli Umno.
Azhar berkata, beliau hanya mengutarakan persoalan kepada individu cerdik agama, iaitu adakah beliau juga dikategorikan sebagai murtad kerana menjadi ahli Umno.
"Jika orang baca betul-betul, mereka tahu saya mengutarakan pertanyaan. Ini kerana bila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan Umno murtad, jadi bagaimana dengan saya?
"Itu hanya kenyataan dari saya, terpulanglah bagaimana interpretasi dan penilaian pihak lain mengenai kenyataan saya itu," katanya semalam.
Azhar berkata, dia bukan sengaja mahu menimbulkan kontroversi, apatah lagi cuba menjadi ahli politik. Sebaliknya, sebagai rakyat Malaysia, dia cuma mengambil tahu mengenai perkembangan semasa.
Mengenai laporan polis oleh beberapa individu di Perak, Azhar berkata, dia tiada masalah dalam perkara itu.
"Apa yang boleh saya kata, jika orang benar-benar faham dengan kenyataan saya, mereka akan faham apa yang cuba saya sampaikan," katanya.
Diana Danielle Mengandung... Perghhh Hebat Farid Kamil!!
PAGI tadi, Diana Danielle melalui akaun rasmi Twitter beliau berkongsi berita gembira yang mana beliau telah di’sahkan secara tidak rasmi mengandung.
Diana Danielle menulis — “The most precious birthday present, thanks Allah SWT” dan di’sertakan sekeping gambar alat uji kehamilan yang menandakan beliau sedang hamil.
Ulangtahun kelahiran Diana Danielle jatuh pada 22 November 2012 ini dan ya, tidak di’sangkal lagi ini merupakan hadiah buat beliau dan Farid Kamil yang teristimewa.
Farid Kamil & Diana Danielle bernikah pada 3 November 2012 yang lalu dalam sebuah majlis ringkas tetapi meriah di tepian tasik Hotel Flamingo Ampang, Kuala Lumpur.
Tahniah buat pasangan ini & nampaknya tidak lama lagi boleh kita lihat cahayamata comel dari pasangan ini. Jaga kandungan baik baik ya!
Ariel NOAH Nafi Ada Hubungan Dengan Isteri Orang!
BARU sahaja keluar dari penjara, vokalis kumpulan NOAH, Ariel kembali menjadi bualan hangat apabila dikatakan kini sedang intim dengan seorang pramugari bernama Magdalena Awuy yang sudah pun berkahwin.
Menurut laporan daripada media Indonesia, pengurus kepada Ariel, Kindy telah tampil menafikan gosip tersebut.
"Gosip itu tidak benar. Ariel berkata gosip itu satu pembohongan kerana sumbernya pun tidak jelas. Ia sama sekali tidak benar," kata Kindy.
Gosip tersebut mula tersebar setelah Ariel dan Magdalena mula berkenalan ketika kumpulan NOAH membuat konsert jelajah 5 negara. Sejak itu, pelantun "Separuh Aku" itu dikatakan sering menghabiskan masa bersama Magdalena.
Lana Nordin Tak Kisah Tubuhnya Dieksploitasikan!
PELAKON kontroversi, Lana Nordin akui tidak kisah jika imejnya yang menampakkan sebahagian lurah buah dada terdedah di dalam filem Pontianak Vs Orang Minyak telah dieksploitasikan oleh pengarahnya, Afdlin Shauki.
Malah, Lana Nordin yang juga dikenali sebagai Pamela Anderson Malaysia itu memberitahu dia melihat senario itu sebagai satu kerjasama win win situation kerana sudah lama dia teringin untuk bekerjasama dengan pengarah tersebut dan buat pertama kalinya dia juga berpeluang berlakon di dalam sebuah filem komedi.
"Jika benar Afdlin ingin mempergunakan diri saya, begitu juga dengan saya, kerana tawaran yang saya terima ini sangat baik dan saya mempergunakan tawaran ini untuk menonjolkan watak saya sebagai pelakon komedi buat pertama kalinya.
"Terus-terang, pada mulanya saya agak ragu-ragu juga hendak berpakaian sebegitu ketika penggambaran tetapi Afdlin Shauki meyakinkan saya semuanya akan berjalan dengan lancar dan kebetulan Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga melepaskan babak saya.
"Malah, saya tahu Afdlin tidak mungkin mahu mengaibkan sesiapa dalam filemnya. Saya hormati dia dan saya hanya menyerahkan kepadanya apa juga yang akan berlaku di masa akan datang," katanya kepada selepas Majlis Tayang Eksklusif dan Sidang Media filem Pontianak Vs Orang Minyak di Cathay Cineplex e@Curve, malam semalam.
Dalam filem yang diterajui dua pelawak Johan Raja Lawak dan Nabil Ahmad itu, sebagian buah dada Lana Nordin kelihatan terdedah dan ia telah dijadikan bahan komedi oleh pelakon Khir Rahman apabila dia turut melawak menggunakan bahan longkang (lurah) Lana Nordin di dalam sebuah babak.
Malah, pelakon Sharifah Shahira yang turut membintangi filem iti juga melawak dengan menggelarkan Lana sebagai Hantu Kopek sedangkan watak Lana ketika itu masih seorang manusia.
"Jika imej seksi saya berjaya dijadikan bahan komedi, maknanya saya berjaya membawakan watak komedi dalam filem ini. Saya tidak mahu membataskan bakat lakonan saya kerana saya ingin jadi pelakon yang serba boleh.
"Saya sudah tak hairan dengan apa jua bentuk kontroversi yang dilemparkan kepada saya selepas ini. Malah, saya anggap gelaran Hantu Kopek sebagai joke dan terpulang kepada tafsiran setiap orang," jelasnya lagi.
Sungguh pun begitu, Lana akui sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa jua kontroversi yang melanda kerana dia terlebih dahulu sudah pun memberitahu ahli keluarganya mengenai penampilannya di dalam filem itu.
"Saya tidak kisah apa orang nak kata kerana saya tahu keluarga saya terlebih dahulu tahu apa yang saya pakai dan lakukan ketika itu kerana saya sendiri sudah menghantara foto saya ketika penggambaran.
"Mak saya ada menegur tetapi saya beritahu dia nak buat bagaimana kerana saya lakukan kerana lakonan. Malah Finas sudah pun melepaskannya, jadi mak saya boleh cakap apa lagi. Lagipun mereka tidak boleh nak bercakap apa-apa atau berbuat apa-apa kerana saya pun sudah besar ," luahnya lagi
Lana yang bakal muncul dalam Pontianak Vs Orang Minyak pada 22 November ini kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Revolusi KL Drift.
Hanez Suraya Gaduh Lagi Dengan Amy Seach
INGATKAN sudah habis insiden selisih faham antara pelakon baru Hanez Suraya dengan penyanyi rock tersohor Amy Search. Rupanya isu perang mereka bersambung episod dua.
Perang siri pertama dulu membabitkan mereka pada majlis Anugerah Blokbuster 2011 baru-baru ini, apabila dia dikatakan berlagak sombong dengan tidak menegur Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman walaupun mereka duduk bersebelahan. Isteri Amy, Nourish turut menemaninya pada ketika itu.
Perang siri kedua Amy dan Hanez pula turut membabitkan Nourish. Kejadian yang berlaku tiga hari lepas itu sebaliknya menimbulkan kontroversi lain antara mereka.
Ia tercetus apabila Nourish atau nama sebenarnya Norhasniza Hassan telah secara tidak sengaja bertemu dengan adik Hanez yang merupakan seorang juruwang di sebuah bank tempat dia berurusan untuk mengeluarkan wang.
Nourish yang mengenali adik Hanez ketika dia turut menemani Hanez pada Anugerah Blokbuster 2011 tempoh hari itu dikatakan ingin menyampaikan permohonan maaf bagi pihak suaminya.
Ia ekoran kejadian teguran Amy secara terbuka di Twitter yang telah mengkritik Hanez ekoran isu pada majlis anugerah tersebut.
Bagaimanapun, adik Hanez dikatakan telah menolak untuk menyampaikan permohonan maaf kepada kakaknya itu dan Nourish didakwa sehubungan itu telah membuat kecoh di bank berkenaan.
Isu itu berlarutan hingga ke laman sosial bergambar Instagram pula. Amy dan Hanez menerusi intagram tersebut khabarnya berbalas-balas kata, yang mana kata-kata berbaur amarah itu kini sudahpun dihapuskan.
Bagaimanapun bercakap kepada Kosmo! hari ini, pelakon itu enggan mengulas tentang hal tersebut. Dia juga tidak tahu apa masalah yang berlaku sebenarnya. Hanez turut meminta seandainya ada sesiapa yang ingin memberitahunya tentang apa yang berlaku sebenarnya, dia berharap agar pihak tersebut datang terus berjumpanya dan jangan guna pihak ketiga bagi mengelak salah faham.
Pelakon 'Dendam Pencinta' ini juga menegaskan yang dia bukan jenis yang suka cari gaduh.
Chef Riz & Ana Dahlia Sah Bercerai
Teka-teki berkenaan status rumah tangga pasangan chef selebriti, Chef Riz dan pelakon, Ana Dahlia terjawab apabila Chef Riz mengesahkan bahawa dia sudah pun bercerai dengan isterinya.
“Ya, saya memang sudah bercerai.
“Saya akui kami kahwin terlalu cepat, hanya selepas lapan bulan berkenalan. Selepas berkahwin tidak sampai setahun, kami berdua nampaknya tidak lagi mempunyai persefahaman dan perceraian adalah jalan terbaik buat kami,” ujar anak sulung Chef Wan itu.
Pun begitu, Chef Riz tidak berkongsi kisah sebenar di sebalik perceraian itu.
Cerita pergolakan rumah tangga mereka menjadi perbualan ramai apabila pasangan ini dikatakan telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di Kajang, Selangor.
Rosakkan Majlis Perkahwinan Orang... Penjelasan Mamat Sepah!
GOSIPNYA baru-baru ini mengenai kisah ‘attitude’ yang dikatakan telah merosakkan aturcara sebuah majlis perkahwinan kenalannya. Kini kami mendapatkan kesahihan dari tuan empunya badan sendiri tidak lain tidak bukan Mamat, yang ditemui sempena promosi siri jelajah filem ‘Sepah The Movie.’
“Macam ni lah sebenarnya yang kena calit itu adalah abang ipar saya dan juga sepupu saya. Benda ini dah berlaku setahun yang lepas dan ini hanyalah melibatkan ahli keluarga saya sahaja bukan orang luar. Tiada apa yang perlu diisukan lagi, saya pun tahu apa yang perlu saya lakukan dan apa yang tidak patut saya lakukan,”jelas Mamat.
Selain itu, gosip yang timbul bahawa dia dengan selambanya menunggang motosikalnya masuk ke dalam kawasan orang berniaga tanpa menghiraukan kesibukan di kawasan tersebut, dan sehinggakan nyaris dibelasah. Sekali lagi GUA mendapatkan kenyataannya:
‘Saya akui ‘superbike’ itu memang milik saya, tetapi apa yang disampaikan itu tidak benar sama sekali yang mengatakan saya masuk ke kawasan orang berniaga dan ‘park’ dekat situ memang tidak benar sama sekali.”
Pesan Mamat kepada orang yang membuat cerita ini:
‘Sudah-sudahlah membuat cerita tak betul kalau saya buat saya boleh mengaku masalahnya benda itu semua tak betul dan saya tak buat seperti apa yang dihebohkan,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Krisis Anzalna-Neelofa : Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih!
Susulan laporan beberapa laman blog hiburan yang memaparkan aksi mesra pelakon Anzalna dan Neelofa ketika majlis pelancaran Anugerah Skrin, baru-baru ini, kami menghubungi Anzalna bagi mendapatkan reaksi lanjut terhadap berita tersebut. Katanya;
"Alhamdulillah, Anzalna anggap isu kami berdua sudahpun berakhir dan kini Anzalna lebih selesa untuk buku buku baru. Kata orang, buang yang keruh, ambil yang jernih. Dunia hiburan kita kecil sahaja. Lama-lama pasti akan bertemu juga," ujar Anzalna yang kini sedang sibuk dalam rangka promosi filem pertamanya iaitu 'Sepah The Movie' yang akan ditayangkan pada penghujung tahun ini.
"Saya Perlu Berhenti Bercakap..." -Neelofa
GOSSIP percintaan Neelofa dan Hans Isaac seperti goreng pisang panas serta terpampang di pelbagai dada akhbar. Pelakon kacak itu baru-baru ini telah membuka mulut mengenai berita sensasi mereka namun terdapat beberapa versi kenyataan yang telah dilaporkan.
Ada yang menulis mengatakan Hans mengaku sedang mengenali hati budi Neelofa manakala ada juga yang melaporkan yang Hans menafikan yang mereka kini berpacaran. Neelofa ketika ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2012 di Hotel Royale Bintang baru-baru ini mengambil keputusan untuk tidak membuat sebarang kenyataan.
Neelofa mengaku yang dia kini selesa berkawan dengan Hans Isaac dan enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu ini. Dia merasakan pelbagai kenyataan telah dikeluarkan malahan antaranya juga telah diputarbelitkan oleh pihak media maka berdiam diri adalah yang terbaik buat masa ini.
“Saya merasakan sudah tiba masanya untuk berhenti bercakap mengenai hal ini kerana saya tidak sepatutnya menjawab dan ditanya sebarang soalan bagi kenyataan yang dikeluarkan oleh Hans Isaac,” kata Neelofa selaku hos untuk malam anugerah yang bakal berlangsung pada 9 November.
Pelakon dan pengacara ini tidak menafikan yang Hans adalah antara rakan rapat yang akan dihubungi ketika masa terluang kerana selesa untuk meluangkan masa bersama. Hans antara rakan rapat yang kerap dihubungi selain dari teman-teman baiknya yang lain.
“Saya berharap selepas ini orang ramai yang ingin mengaitkan nama kami berdua atas urusan kerja.Saya telah melakukan yang terbaik untuk filem Lemak Kampung Santan yang mengandingkan kami berdua maka lebih jika difokuskan untuk filem tersebut yang bakal menemui penonton tidak lama lagi,” kata Neelofa.
"KENAPA ISU INI DIPERBESARKAN? BUKAN GAMBAR BOGEL PUN..." - @Erin_Malek
NAMA pelakon Erin Malek sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila gambar terbarunya di laman Instagram yang dimuat naik olehnya dua hari lalu menerima kritikan pelbagai pihak baru-baru ini.
Difahamkan, walaupun gambar tersebut adalah untuk tatapan umum, tetapi kata-katanya yang ditulis ditujukan kepada kekasihnya, Walid.
Erin menulis kapsyen gambar sebagai, “selamat malam untuk saya dan selamat pagi untuk semua @walidwahid."
Erin ketika dihubungi berkata, “gambar itu saya tujukan untuk semua.
“Tetapi tidak pasal-pasal dikatakan itu adalah untuk teman lelaki saya.
“Kalau dilihatkan gambar-gambar saya sebelum ini, memang saya selalu ‘mention’ nama teman lelaki saya tetapi berlainan apabila gambar ini dijadikan isu pula,” katanya.
Erin yang mula dikenali ramai menerusi lakonannya dalam filem Tentang Bulan turut berkata kenapa isu itu dibangkitkan sedangkan ramai lagi selebriti yang pernah memuat naik gambar yang lebih teruk daripadanya.
“Saya tidak faham kenapa isu ini seperti sengaja dibesar-besarkan sedangkan ramai lagi artis yang bergambar lebih teruk dan saya rasa ‘its not fair’.
“Bagi saya benda ini ‘its nothing’, bukannya dalam gambar itu saya pakai bra ataupun gambar bogel pun," katanya lagi.
Erin atau nama sebenarnya Nur’ Arina Abdul Malek, 18, juga menyatakan dia tidak pernah membaca segala komen atau kritikan yang dilemparkan terhadapnya melalui gambar terbabit.
“Saya memang tidak baca segala komen yang diberikan kerana macamlah saya ini jahat sangat dan daripada saya sakit hati baca, baik saya tidak baca terus,” katanya.
Ketika ditanya adakah selepas ini dia akan lebih berhati-hati memuat naik gambarnya pada masa akan datang, Erin menjelaskan, “saya akan fikir panjang dulu sebelum nak ‘post’ apa-apa selepas ini dan bila jadi isu macam ini, saya rasa macam malas nak ‘post’ apa-apa gambar dalam instagram saya."
Erin sebelum ini juga pernah menimbulkan kontroversi apabila dia mengakui membuat tatu serta bertindik pada lidah tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Erin kini sedang menjalani penggambaran filem Lari arahan Ahmad Idham, yang turut dibintangi Aaron Aziz, Dira Abu Zahar dan Hazama.
CUTI DI PHUKET BERSAMA HANS ISAAC... "ITU KEBETULAN!" - @NEELOFA
DiI PREBIU filem 'Hantu Kapcai' baru-baru ini, kami berkesempatan bertemu Neelofa untuk mengetahui kebenaran di sebalik cerita bahawa dia telah bercuti bersama Hans Isaac di sebuah pulau popular di negara Thailand.
“Terus terang saya katakan, saya bercuti di Phuket manakala Hans di Koh Samui. Dan buat pengetahuan semua, saya bertolak pada hari Ahad dan pulang ke Malaysia pada hari Isnin. Sementara, Hans masih bercuti dan mungkin balik pada Rabu atau Khamis ini.
“Saya pergi pun dengan kawan baik saya setelah penat bekerja dan ingin berehat buat sementara waktu sebelum kembali ke set penggambaran. Tetapi, apabila timbul isu dan balik ke sini, dah berserabut kepala,” ujarnya sambil berseloroh.
Lofa turut menjelaskan bahawa aktor kacak yang membintangi drama, “Kau Terindah”, Nazim Othman turut bercuti ke Phuket tetapi mereka tidak pernah bertemu semasa berada di sana, berikutan mereka ke sana bersama kumpulan masing-masing.
Selain itu, mengenai gambarnya bersama Hans Isaac, Neelofa melihatnya sebagai salah satu cara untuk menjatuhkannya.
“Benda ini berlaku secara kebetulan kerana saya bercuti di negara yang sama dengan Hans. Kalau betullah, baik saya 'upload' terus gambar saya dengan dia semasa berada di sana.” ujarnya.
Mengenai perkembangan terbarunya, Neelofa akan membintangi filem arahan Osman Ali yang berjudul 'Pilot Café' dan akan memulakan penggambaran sekitar Oktober ini.
RITA RUDAINI ENGGAN BERJUMPA BIRAS, AYU RAUDHAH
DRAMATIS drama terkenal, Rita Rudaini menegaskan kenyataan beliau baru-baru ini memberitahu tidak mahu langsung berjumpa dengan biras yang juga isteri kepada kembar Aidil, Zaquan Adha, Ayu Raudhah.
"Buat apa mahu berjumpa saya dengan anak – anak, kami sudah tiada kaitan untuk bercakap mengenai perkara peribadi. Selepas ini jangan ganggu hidup saya dan anak-anak."
Sebelum ini, satu kenyataan yang dipetik dari Kosmo! baru- baru ini, Rita ada menulis kenyataan berbaur sindiran namun menafikan kenyataan tersebut ditujukan kepada sesiapa.
Menurut kenyataan yang ditulis Rita berbunyi "Baru rasakan bagaimana perasaan terganggu tengah pregnant. Macam itulah orang itu rasa masa pregnant apa yang kau buat dahulu. Allah itu Maha Adil."
Di dalam satu temubual lain bersama Ayu Raudhah mengenai kemelut keluarga mereka yang melanda sekarang Ayu ada menyebut keinginan untuk berjumpa dengan Rita demi menjernihkan keadaan yang dianggap tegang sekarang ekoran kenyataan berbalas di antara Rita dan Adha yang dibuat di Twitter.
Ujar Rita, Twitter meroyan yang ditulis sebelum ini adalah untuk suaminya, Aidil bukan untuk Ayu. "Saya tak faham kenapa mereka pula yang terasa sedangkan saya menulisnya untuk Aidil. Lagipun saya pelik, macam mana dia boleh tahu sedangkan akaun twitter saya khusus untuk peminat bukan untuk mereka meninjau aktviti saya secara rahsia."
Menurut Rita lagi, dia tidak mahu mencari gaduh atau masalah dengan sesiapa, cukuplah masalah yang melanda di antara dia dengan Aidil.
"Saya mahu hidup tenang dengan anak – anak saya selepas ini. Cukuplah segala tohmahan yang dilemparkan. Saya bukan robot."
Sementara itu, kemelut rumah tangga Rita dan Aidil dijangka semakin hangat apabila tuntutan hak penjagaan anak-anak Rita dan Aidil bakal dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 25 September ini.
AWEERA (MOJO) JAWAB ISU TAK BERDISIPLIN
BARU-BARU ini, Media Prima Berhad telah mengadakan satu Majlis Rumah Terbuka untuk meraikan para pekerjanya di Sri Pentas, Bandar Utama. Nak dijadikan cerita, vokalis Mojo, Aweera yang dijadualkan membuat persembahan pada majlis tersebut tidak muncul pada petang itu.
Ramai pihak cuba menghubungi penyanyi kelahiran Perlis itu namun Aweera dikatakan tidak menjawab sebarang panggilan sehingga menjejaskan aturcara majlis serta membuatkan pihak penganjur mengalami kesukaran untuk mencari pengganti lain di saat-saat akhir.
Rasanya ini bukan kali pertama mendengar mengenai sikap tidak berdisiplin bekas finalis One In A Million ini. Berpeluang bertemu dengan Aweera pada Majlis Rumah Terbuka Star Radio Group di Hotel Swiss-Garden Residences, petang Selasa, digunakan untuk bertanyakan mengenai isu tersebut.
"Terus-terang saya cakap, saya demam, sakit mata dan sakit tekak waktu itu. Suara pun tak boleh nak keluar. Pada masa yang sama, keluarga saya terlibat dengan kemalangan pada hari itu," jelas Aweera mengenai isu yang timbul.
"Pasal isu tak jawab panggilan telefon, saya tak boleh fokus dan risau sebenarnya sebab semua perkara jadi serentak pada hari itu. Jika orang cakap saya tipu, saya ada bukti gambar kereta abang saya kemalangan. Sewaktu kejadian, emak, abang, kakak ipar dan adik saya dalam perjalanan untuk menonton filem pertama lakonan saya, Leftwings.
"Mujur emak saya hanya mengalami lebam-lebam, cuma enjin kereta saja yang hancur. Sebab itulah saya tak datang dan saya minta maaf jika saya menyusahkan ramai pihak. Tidak timbul isu tak berdisiplin sebab semuanya kerana faktor kesihatan. Sebelum ini pun saya dimasukkan ke wad selama 10 hari sebab disyaki terkena jangkitan kencing tikus."
Dalam perkembangan lain, Aweera kini sedang sibuk dengan proses merakamkan single keduanya bersama Mojo. Pada 29 September ini pula, Aweera bakal membuat persembahan di Konsert Kemuncak Suria FM di Putrajaya.
SPOTLIGHT TERJATUH ATAS BELAKANG, ALYAH DIKEJARKAN KE HOSPITAL
PENYANYI yang terkenal dengan lagu "Kisah Hati" telah dikejarkan ke Hospital Pakar KPJ Damansara selepas lampu acara (spot light) terjatuh di atas belakangnya ketika majlis terbuka stesen radio Hot FM di Sri Pentas, pagi Jumaat.
Dipetik daripada mStar, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi, lampu yang ditempatkan di ruang legar Sri Pentas untuk majlis tersebut telah dilanggar seseorang lalu terjatuh di atas badan Alyah.
Menurut satu sumber, pihak Hot FM terpaksa memanggil ambulan bagi membolehkannya mendapatkan rawatan selepas Alyah mengadu sakit.
"Alyah berada dalam keadaan stabil kerana ia hanya kemalangan kecil. Namun bagi mengelak sebarang komplikasi lain, pihak penganjur membuat keputusan untuk membawanya ke hospital," jelas sumber itu yang turut memberitahu Alyah pernah mengalami kesakitan pada bahagian tersebut.
NING BAIZURA TARIK DIRI DARI PERSEMBAHAN MINUMAN KERAS
INDUSTRI muzik tempatan sekarang ini kecoh dengan penyanyi wanita popular, Mizz Nina yang dikritik teruk kerana bakal membuat persembahan sempena Guinness Arthur's Day bersama Ning Baizura.

Dipetik daripada laman Mynewshub, namun Ning menerusi laman rasminya, ning-baizura.com, telah menjelaskan bahawa dia langsung tidak tahu dia akan terlibat dalam persembahan Guinness Arthur's Day, kerana dia pada mulanya ditempah oleh Pihak Pengurusan Souled Out untuk mengadakan persembahan pada 28 September depan dan bukannya ditempah dari pihak Guinness Anchor Berhad (GAB).
"Dengan maklumnya, kami ingin menegaskan bahawa, Ning tidak ada sebarang kaitan dengan pihak pengurusan GAB," tulis Ning di laman rasminya.
Tambah Ning lagi, pihak GAB telah menggunakan wajahnya untuk dijadikan sebagai poster promosi acara tersebut tanpa pengetahuan dan izinnya.
Oleh itu, Ning telah menarik diri dari sebarang acara yang diuruskan oleh pihak Souled Out di Mont Kiara.
"Kami ingin memaklumkan kepada semua pihak bahawa Ning Baizura telah menarik diri daripada persembahan di Souled Out yang bertarikh pada 28 September 2012."























